Pasangan lesbian dicekup, alat sulit tiruan lelaki ditemui

Sinar Harian
April 9, 2018 19:04 MYT
Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana kesalahan Musahaqah iaitu pasangan lesbian.
Dua wanita disyaki pasangan lesbian dicekup ketika sedang asyik berasmara di dalam sebuah kereta di Arena Merdeka, Dungun, petang kelmarin.
Pasangan berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.50 petang oleh sepasukan Penguatkuasa Syariah Daerah Dungun.
Menurut sumber, serbuan dibuat selepas mendapati ada sebuah kereta bercermin gelap yang diparkir di lokasi berada dalam keadaan mencurigakan.
Jelas sumber, ketika pemeriksaan selanjutnya dibuat di dalam kenderaan, didapati pasangan itu berada di kerusi belakang sedang asyik berasmara sehingga langsung tidak menyedari kehadiran penguat kuasa.
“Bagaimanapun selepas pintu kereta diketuk beberapa kali, pasangan lesbian itu terpinga-terpinga kerana terkejut melihat kenderaan mereka sudah dikepung sebelum membuka pintu.
“Siasatan selanjutnya menemukan seluar dalam milik pasangan itu dipercayai ditanggalkan selain turut menemukan satu alat sulit tiruan lelaki yang disorokkan di bawah kerusi pemandu.
“Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku kesemua barang tersebut adalah milik mereka yang digunakan untuk memuaskan nafsu masing-masing,” katanya ditemui semalam.
Menurut sumber lagi, setelah disoal siasat, salah seorang daripadanya yang berasal dari Pahang memaklumkan sengaja datang ke Dungun semata-mata hendak berjumpa pasangan lesbiannya.
“Mereka memaklumkan sudah mengenali pasangan sejenisnya itu awal tahun ini melalui rakan selain mengaku sudah kerap kali ‘terlanjur’.
“Mereka mengaku memilih untuk melakukan ‘hubungan kelamin’ sejenis kerana merasa lebih selamat berbanding melakukan hubungan dengan lelaki,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan pasangan lesbian itu.
Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana kesalahan Musahaqah iaitu pasangan lesbian.
Bagi kesalahan itu, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
#alat sulit tiruan #Arena Merdeka #dicekup #dua wanita #Dungun #JHEAT #lesbian #pasangan lesbian
;