Pasangan kembar seiras curi tumpuan dengan gaya ekspresif di pusat mengundi
Bernama
Mac 12, 2022 14:47 MYT
Mac 12, 2022 14:47 MYT
JOHOR BAHRU: Pasangan kembar seiras, Fatin Ameyra Anastasia Narimusa dan Fatin Adrreyna Anastasia Narimusa, menarik perhatian orang ramai di pusat mengundi Sekolah Agama Sabilul Muhtadin, Puteri Wangsa dengan penampilan ekspresif ketika hadir untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Kembar berusia 22 tahun itu memilih pakaian yang ceria, menarik dan bergaya untuk mengekspresikan semangat dan hasrat mereka yang pertama kali mengundi dalam pilihan raya.
"Kami memang hendak sangat mengundi sebab selain dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam politik, kami nak bagi peluang pada mereka yang pernah diberikan amanah dahulu bangkit, perbaiki dan jangan ulangi kesalahan dahulu.
"Jangan hampakan harapan rakyat yang mengundi, fikirkan kebajikan rakyat yang menaruh harapan terhadap anda," kata Fatin Ameyra Anastasia ketika ditemui pemberita usai mengundi.
Bagi adik-beradik Syahira Shahrul Fikri, 24, dan Ahmad Syamim Shahrul Fikri, 30, mereka terpaksa menumpangkan adik lelaki mereka yang berusia empat tahun di pusat jagaan kanak-kanak seketika bagi membolehkan mereka keluar mengundi kerana ibu bapa mereka, yang merupakan petugas media, perlu bertugas hari ini.
"Saya mengundi bukan atas desakan ibu bapa atau sesiapa. Saya sendiri yang hendak mengundi, saya rela hati kerana saya mahu suara saya didengari.
"Jujur saya takut dan risau tapi bila dah selesai mengundi rasa lega apabila sudah selesaikan tanggungjawab," kata Syahira yang pertama kali merasai pengalaman mengundi.
"Sudah tentu saya mahukan yang terbaik, lebih baik dari sebelumnya untuk masa yang akan datang," kata Ahmad Syamim yang mengundi kali kedua. Mereka berdua mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Tebrau, Adda Height di sini.
-- BERNAMA