Pasangan kembar konvo bersama, terima ijazah kelas pertama

Astro Awani
November 22, 2023 17:04 MYT
Pasangan kembar terima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Kelas Pertama UUM. -Gambar ihsan UUM
SINTOK: Impian pasangan kembar dari Alor Setar, Kedah untuk bergraduasi bersama tercapai apabila kedua-dua mereka menerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM), petang semalam.
Pasangan kembar daripada lapan beradik, Khairina Ismail dan Khairini yang berusia 24 tahun ini merupakan dua ahli keluarga yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Khairina berkata, mereka berdua berasa sangat bersyukur kerana impian sejak melangkah ke alam universiti untuk membanggakan ibu bapa dan keluarga terlaksana.
Menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, hasil keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu telah memisahkan dia dan adiknya Khairini ke universiti yang berbeza.
"Saya mendapat tawaran belajar di UUM, manakala adik mendapat tawaran belajar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.
"Namun, Khairini hanya mampu bertahan selama satu semester sahaja kerana tidak boleh berpisah dengan saya hingga menyebabkan dia tidak dapat fokus dalam pelajaran," katanya.
Khairini pula berkata, dia dan kakak kembarnya itu tidak pernah berpisah sejak dari kecil sehingga tamat belajar Tingkatan Enam.
Jadi, menurutnya, dia telah membuat permohonan untuk bertukar ke UUM dalam program pengajian sama dengan Khairina dan permohonan tersebut berjaya.
"Syukur Alhamdulillah dan kami berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya bukan sahaja dapat naik pentas konvokesyen bersama, tetapi juga menggenggam ijazah kelas pertama.
"Berkat kesungguhan dan doa ibu bapa serta tunjuk ajar pensyarah dan rakan-rakan, banyak urusan kami yang dipermudahkan-Nya.
"Paling penting, sentiasa mendekatkan diri dengan Allah iaitu melakukan amalan sunat setiap hari bersama-sama sebelum memulakan kelas atau tugasan dengan mengerjakan solat sunat tahajud, sunat hajat, sunat dhuha, membaca Al-Quran dan sebagainya," ujarnya yang kini bekerja sebagai kerani bagi mendapatkan pengalaman sambil menantikan peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajian.
Kembar anak kepada pesara posmen Ismail Mohd Akhir, 63, dan suri rumah Nolia Saad, 62, itu berharap dapat membalas budi dan pengorbanan ibu bapanya serta keluarga yang menjadi sumber kejayaan mereka hari ini.
Kedua-dua mereka antara 812 graduan yang menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff pada sesi keempat di Dewan Mu'adzam Shah.
#UUM #kembar #Tengku Mahaleel Tengku Ariff #Khairina dan Khairini
;