Pasangan kekasih rentas daerah untuk 'dating' dikompaun RM10,000

Adie Sufian Zulkefli
Mei 31, 2021 17:47 MYT
Pasangan berusia 22 dan 24 tahun itu melakukan kesalahan merentas daerah dari Kuala Muda ke Yan tanpa kebenaran polis. - Gambar hiasan
YAN: Sepasang kekasih masing-masing dikompaun RM5,000 selepas ditahan kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis dipercayai untuk keluar bersiar-siar pada Isnin.
Kedua-dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu yang menaiki sebuah kereta ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, jam 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasangan berusia 22 dan 24 tahun itu melakukan kesalahan merentas daerah dari Kuala Muda ke Yan tanpa kebenaran polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan rentas daerah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pasangan itu memberi alasan datang ke daerah ini untuk berjalan-jalan. Mereka mengaku melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Berikutan itu, Shahnaz berkata, kedua-dua penuntut terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Katanya, mereka turut dikompaun maksimum RM5,000 mengikut Peraturan 4(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (No 2) 2021.
#pasangan kekasih #penuntut IPT #rentas daerah #dating #dikompaun #RM10 000 #maksimum #PKP
;