Pasangan kekasih maut dalam kereta berkenalan di media sosial - Rakan

Shuhada Abdul Kadir
September 7, 2022 17:03 MYT
Inilah kereta Perodua Kancil di mana sepasang kekasih muda ditemui maut akibat terhidu karbon monoksida.
MASJID TANAH: Pasangan kekasih muda yang ditemui maut dalam kereta Perodua Kancil di Lubok China, di sini, pagi tadi selepas dipercayai terhidu karbon monoksida, dikatakan sudah menjalin hubungan sejak lapan bulan lalu selepas berkenalan melalui aplikasi Instagram.
Rakan karib remaja perempuan tersebut yang hanya mahu dikenali Damia, 16, berkata, dia mengakui, masih terkejut dengan kejadian berkenaan berikutan dia merupakan individu terakhir yang bersama mangsa sebelum dia berjumpa teman lelakinya.
Kata Damia, mangsa telah meminta bantuannya untuk menghantarnya ke lokasi dia ditemui maut di Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau bagi berjumpa pemuda berkenaan pada petang semalam.
“Apabila sampai di lokasi itu, saya nampak Perodua Kancil itu diletakkan di bahagian tepi sebuah tadika di kawasan JAPERUN itu.
“Mereka ini sudah lapan bulan berkenalan melalui aplikasi Instagram dan sebenarnya saya masih terkejut dengan kejadian ini memandangkan saya juga yang jumpa mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui, di sini.
Tambah pelajar tingkatan empat itu, dia terkejut apabila kakak rakannya menghubunginya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi untuk bertanyakan keberadaan adiknya yang tidak pulang ke rumah sejak petang semalam.
Susulan itu, Damia bertindak mencari rakannya itu di kawasan sekitar sebelum ke lokasi terakhir mereka bertemu dan ternampak kereta yang dipandu teman lelaki rakannya itu masih berada di tempat sama.
“Kereta itu ditutupi dengan kanvas dan apabila saya selak, saya nampak mereka berdua tetapi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya panik dan tidak terus buka pintu kenderaan itu, sebaliknya saya terus maklumkan kepada kakak dia dan saya datang semula bersama mereka ke situ,” tambahnya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi tadi, sepasang kekasih yang masing-masing berusia 20 dan 16 tahun, disahkan maut selepas dipercayai terhidu karbon monoksida.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kedua-dua mereka ditemui lengkap berpakaian bahagian pemandu dan penumpang hadapan selain kenderaan itu diselubung menggunakan kanvas.
#kekasih muda #mati dalam kereta #media sosial #terhidu karbon monoksida
;