Pasangan kekasih lari pemeriksaan polis ditahan

Sinar Harian
Julai 27, 2024 09:50 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan enam MPV polis mengejar sebuah kereta di Taman Impian Emas, Skudai.
JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih dipercayai berada di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Impian Emas Skudai, pada Rabu.
Insiden enam kereta peronda polis (MPV) mengejar kereta pasangan kekasih berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 11.20 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 27 tahun telah melarikan diri daripada pemeriksaan polis yang sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah dI Taman Impian Emas, Skudai.
"MPV mengejar kereta dipandu suspek bermula di Taman Impian Emas dan melalui beberapa jalan lain di daerah ini sebelum ditangkap semula di Taman Impian Emas.
"Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun di dalam kereta itu turut ditahan. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menurut Balveer Singh, ketika kejadian, terdapat seorang kanak-kanak yang juga anak kepada suspek wanita.
Beliau turut menafikan dakwaan tular di media sosial menyatakan kes berkenaan merupakan kes culik kanak-kanak.
"Bukan kes culik tetapi kanak-kanak itu merupakan anak kepada wanita tersebut. Tiada sebarang kecederaan dalam kes ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi jawatannya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Sinar Harian
#video tular #lari daripada polis #pasangan kekasih #Dadah