Pasangan 'kekasih gelap' berdepan tali gantung

Sinar Harian
Januari 10, 2025 16:45 MYT
Noor Haimi (depan, kiri) dan Nur Anne (belakang, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat selepas menghadapi pertuduhan mengedar dan memasukkan dadah dalam badan. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih gelap berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi enam pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, bulan lalu.
Tertuduh iaitu lelaki tempatan, Noor Haimi Ayhari, 49, dan wanita warga Singapura, Nur Anne Mohd Hussin, 38, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Di hadapan Majistret A Shaarmini, kedua-dua tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 62 gram methamphetamine dan 39.4 gram kanabis di sebuah pangsapuri di Persiaran Aliff Harmoni Utama, Taman
Damansara Aliff, di sini pada jam 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Sementara di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, mereka didakwa mengedar 510 gram ganja di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana di sini, pada jam 6.20 pagi, hari sama.
Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka yang masing-masing sudah berkahwin, faham akan semua pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.
Di hadapan Majistret R Salini pula, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di apartment di Taman Damansara Aliff itu, pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu dengan memiliki 3.8 gram heroin, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 14 gram bahan psikotropik iaitu nitrazepam.
Sementara itu, Noor Haimi dan Nur Anne masing-masing mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Salini dan Shaarmini atas tuduhan memasukkan methamphetamine ke dalam badan mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, pada jam 10.13 pagi, 31 Disember lalu. -- Sinar Harian
#pasangan kekasih #edar dadah #hukuman gantung #Johor Bahru
;