Pasangan kekasih dituduh tetak mati pemuda di kawasan perkuburan
Muhafandi Muhamad
Julai 14, 2022 14:56 MYT
Julai 14, 2022 14:56 MYT
KOTA BHARU: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di Kampung Gondang, Ketereh, Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh secara bersama dengan niat melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian seorang pemuda, Muhamad Fahmi Adli, 24, dengan menetak tubuh badan menggunakan parang.
Kesalahan itu dilakukan di Perkuburan Lama Islam Kampung Gondang, Ketereh antara 10 malam pada 14 Mei hingga 1 pagi 15 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan forensik.