Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyi kelahiran, buang mayat bayi
Aida Aziz
Januari 25, 2020 06:13 MYT
Januari 25, 2020 06:13 MYT
Bau yang kurang menyenangkan dari sebuah rumah di taman perumahan di sini akhirnya membongkar tindakan pasangan kekasih yang menyembunyikan kelahiran serta membuang mayat bayi itu di Sungai Perak, berhampiran Rumah Pam, Lembaga Air Perak, Teluk Ketapang Bota.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso, wanita berusia 22 tahun itu ditahan di rumahnya di Seri Iskandar selepas menerima maklumat berkaitan kes menyembunyikan kelahiran dan bau kurang menyenangkan kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada Sabtu.
"Wanita itu dengan rela hati membuat pengakuan dirinya telah melahirkan bayi perempuan tujuh bulan, dalam keadaan bernyawa, di bilik tidurnya pada jam 3 pagi 21 Januari lalu, tanpa pengetahuan keluarga yang tinggal serumah, dan kemudiannya telah meninggal dunia.
"Seterusnya, wanita itu membungkus bayi itu dan menyimpan dalam almari selama tiga hari, kemudiannya diberikan teman kawan lelakinya dan dibuang dalam Sungai Perak," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Katanya lagi, wanita itu mengandung akibat hubungan seks dengan teman lelakinya yang bekerja sebagai penyelia kilang.
Ujarnya, sepasukan polis kemudiannya berjaya mengesan dan membuat tangkapan ke atas lelaki itu di rumahnya di Seri Iskandar, dan hasil temu bual lanjut dia mengakui membuang mayat tersebut.
"Lelaki itu mengakui membuang mayat bayi dengan cara menenggelamkan dengan empat biji batu bata berdekatan dengan Rumah Pam Lembaga Air Perak, Teluk Ketapang, Sungai Perak, Bota," katanya.
Pihak polis kemudiannya bersama sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Tengah menuju ke tempat dia membuang bayi tersebut bagi usaha mencari sehingga lewat petang Sabtu, namun gagal.
Barudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
#Barudin Wariso
#bayi
#Bota
#buang mayat
#hubungan seks
#Kanun Keseksaan
#Kekasih
#luar nikah
#mengandung
#sembunyi kelahiran
#Seri Iskandar
#Sungai
#teman lelaki