Pasangan kekasih curi motosikal dicekup

Bernama
Ogos 9, 2024 03:10 MYT
Juna berkata suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek wanita turut mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes sama. - Gambar hiasan
IPOH: Tindakan sepasang kekasih mencuri motosikal di daerah Parit Buntar akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah inap desa di Kuala Kurau pada 2.30 petang.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki berumur 36 tahun yang kehilangan sebuah motosikal di rumahnya pada hari yang sama.
"Polis menemukan semula motosikal yang dilaporkan hilang itu dan kenderaan itu ada pada suspek," katanya dalam satu kenyataan.
Juna berkata suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek wanita turut mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes sama.
Suspek wanita itu baru dua hari dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian atas kesalahan dadah dan dalam tempoh jaminan sementara menunggu hari perbicaraan .
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#Kekasih #curi motosikal #Polis Daerah Kerian #Dadah