Pasangan kekasih cedera kereta bertembung kenderaan lawan arus

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 10, 2022 17:50 MYT
Pemandu lelaki berusia 27 tahun dan penumpang wanita berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan pada perut. - Gambar/ Ihsan pembaca
BUTTERWORTH: Sepasang kekasih cedera apabila kereta mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang melawan arus di Kilometer 4.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam, di sini.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam Sabtu itu, pemandu lelaki berusia 27 tahun dan penumpang wanita berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan pada perut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pacuan empat roda terbabit melawan arus.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, pacuan empat roda itu telah bertembung dengan kereta mangsa.
"Akibat pertembungan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di perut dan penumpang perempuan turut mengalami kecederaan yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Mohd Radzi berkata pemandu pacuan empat roda itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#lawan arus #pacuan empat roda #Butterworth #LLB
;