Pasangan kekasih 'berteduh' di motel akibat hujan lebat
Adie Sufian Zulkefli
Februari 15, 2024 09:10 MYT
Februari 15, 2024 09:10 MYT
KULIM: Pasangan baru melangsungkan pertunangan memberi alasan hujan lebat menyebabkan mereka berteduh di sebuah bilik motel dicekup pegawai penguatkuasa agama dalam ‘Ops Malam Kasih Sayang’ (Valentine Day) pada Khamis.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, dalam serbuan jam 12.30 tengah malam di sebuah bilik dekat Lembah Impiana, di sini, lelaki berusia 23 tahun itu membuka pintu dalam keadaan berseluar pendek.
“Wanita berusia 25 tahun disyaki pasangannya pula dipercayai masuk ke bilik air untuk berpakaian lengkap.
"Siasatan mendapati, pasangan yang baru bertunang itu memberi alasan baru balik dari bersiar-siar dengan menaiki motosikal tiba-tiba hujan lebat menyebabkan mereka terpaksa singgah berteduh di motel," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Anwar berkata, hasil semakan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri dan bukan mahram bagaimanapun mengaku baharu sahaja bertunang.
Kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk laporan tangkapan dan tindakan lanjut.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.