Pasangan kekasih berdepan detik cemas motosikal dihimpit, disamun

Sinar Harian
Ogos 26, 2021 07:23 MYT
Gambar mangsa tular di media sosial.
KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih berdepan detik cemas apabila motosikal yang ditunggang telah disamun sekumpulan penjenayah di Jalan Kuching di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu, mangsa bersama teman wanitanya sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang.
"Tiba-tiba, sebuah motorsikal jenis Honda RS150 yang dinaiki oleh dua lelaki telah bertindak menarik tangan mangsa serta melibas kepala mangsa menggunakan mangga rantai motosikal dan terkena belakang topi keledarnya," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Eng Lai berkata, mangsa kemudian telah membuat pusingan dan berpatah balik ke Jalan Kuching menghala ke pusat bandar.
"Mangsa sekali lagi telah dihimpit oleh motosikal suspek dan suspek menendang motosikal mangsa sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan.
"Akibatnya, mangsa dan teman wanitanya terbaring di atas jalan. Salah seorang suspek seterusnya telah membawa lari motosikal milik mangsa," katanya.
Menurutnya, dengan bantuan orang awam, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan.
"Akibat dari kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan melecet pada muka, kedua belah tangan dan lutut.
"Teman wanita mangsa pula mengalami kecederaan luka pada bahu kanan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kerana tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek terdiri daripada tiga lelaki dipercayai telah melarikan motosikal milik mangsa.
"Polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kes samun itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 kanun keseksaan," katanya.
Eng Lai meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian samun itu atau mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek untuk tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206.
*Berita asal di Sinar Harian
#motosikal disamun #penjenayah #Jalan Kuching #Kekasih
;