Pasangan jarak jauh akur, ambil langkah berwaspada elak risiko
Bernama
Mei 31, 2021 05:57 MYT
Mei 31, 2021 05:57 MYT
KUALA LUMPUR: Rata-rata pasangan jarak jauh yang ditemui akur dengan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh yang menyekat mereka daripada merentas negeri untuk bertemu pasangan dalam tempoh antara 1 hingga 14 Jun ini.
Kebanyakan mereka mengambil langkah penuh berwaspada bagi memastikan keluarga dan orang sekeliling tidak terdedah dengan risiko penularan COVID-19 apabila menerima kepulangan orang tersayang terutamanya dari zon merah.
Norshita Abdullah, 47, yang ditemui di KANGAR, Perlis berkata suaminya yang bertugas di Pulau Pinang mengambil keputusaan untuk tidak pulang ke Perlis kerana tidak mahu bahayakan nyawa orang lain.
"Walaupun beliau (suaminya Hasmizan Zainuddin) dapat Bekerja Di Rumah (BDR) sepanjang PKP, namun suami saya tidak balik Ke Perlis kerana bimbang akan membawa virus COVID-19 yang bukan hanya membahayakan keluarga malah orang lain," katanya ibu kepada dua anak itu.
Penjawat awam itu berkata adalah lebih baik sekiranya mereka bersabar dan menunggu kes COVID-19 reda terlebih dahulu demi kebaikan semua.
Di MELAKA, petugas RTM Muhd Aliff Al Hafiz Bahruddin, 31, mengakui terpaksa berkorban berjauhan dengan isterinya, Safinah Ahmadi, 31, yang menetap dan bertugas di Kuantan, Pahang sepanjang sekatan yang bermula hari ini.
Mengakui tidak senang untuk meninggalkan isterinya menguruskan tiga anak mereka yang berumur lapan bulan, tiga dan empat tahun, dia reda dengan situasi pandemik yang semakin meruncing ini, terutama di Melaka.
"Saya kesian, isteri yang terpaksa urus anak-anak seorang diri sedangkan dia juga bekerja. Berinteraksi dengan anak-anak pula, memang takkan puas sekadar panggilan video, terutama dengan yang bongsu.
"Tapi untuk keselamatan keluarga saya, saya akur dengan peraturan dan dalam masa yang sama harap permohonan untuk vaksin dipercepatkan. Baru rasa selamat sikit nak jumpa anak-anak," kata beliau yang biasanya akan pulang ke Kuantan setiap hari minggu.
Di KOTA BHARU,seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Shahrizal Talib, 42, berkata dia memahami risiko COVID-19, justeru mengambil keputusan untuk tidak pulang bertemu isteri Nur Aisyah Ibrahim, 38 dan tiga anak-anaknya yang tinggal di Terengganu buat sementara waktu.
Biarpun tinggal di negeri yang bersempadan, Shahrizal berkata dia lebih mengutamakan kesihatan ahli keluarganya itu.
"Buat masa ini saya belum nak pulang ke Terengganu memandangkan Kelantan masih mempunyai trend jangkitan kes COVID-19 antara yang tertinggi.
"Saya tidak mahu keluarga di Terengganu mendapat risiko jangkitan," katanya yang sudah tiga tahun tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anak.
-- BERNAMA