Pasangan ipar edar daun ketum ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 14, 2020 13:40 MYT
Polis menahan kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun dan kedua-dua suspek mengaku telah beberapa kali menyeludup daun ketum untuk pasaran luar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Gambar Astro AWANI
Dua individu ditahan polis ketika cuba menyeludup 200 kilogram daun ketum ke Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan menggunakan pacuan empat roda (4X4).
Pasangan ipar itu ditahan sepasukan polis Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pada jam 12.10 tengah malam 13 Mei di Taman Nilam Sari, Jalan Langgar selepas memandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, sebaik anggotanya menahan kenderaan itu, 8 beg canvas ditemui berisi daun ketum segar yang dimuatkan dalam sejumlah plastik lutsinar.
Katanya, polis menahan kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun dan kedua-dua suspek mengaku telah beberapa kali menyeludup daun ketum untuk pasaran luar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Anggarannya, keseluruhan daun ketum ini boleh dibekalkan kepada sepuluh ribu orang pengguna.
"Disebabkan permintaan yang begitu tinggi, mereka berani mengambil risiko untuk bergerak seolah-olah tidak ada pasukan yang memantau.
"Meraka menganggap semua tumpuan diberikan kepada operasi COVID-19 tetapi mereka lupa bahawa tindakan-tindakan pembenterasan jenayah dan juga dadah tetap diteruskan," katanya.
Polis kini sedang memburu rataian anggota sindiket penyeludupan daun ketum ini yang dipercayai masih bebas.
Kedua-dua suspek telah direman bermula hari ini sehingga 16 Mei untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan dihukum mengikut seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.
Jelas Mohd Rozi, sepanjang 58 hari tempoh PKP bermula fasa pertama sehingga empat polis telah melakukan 249 tangkapan melibatkan kesalahan dadah.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM384,000 ringgit melibatkan tangkapan dadah jenis heroin, ganja, syabu, ketamin, yaba, eremin 5, daun ketum dan air ketum.
#daum #ipar #Kedah #ketum #Kuala Lumpur #Mohd Rozi Jidin #Negeri Sembilan #seludup
;