Pasangan Diraja Tengku Muhammad dan Tengku Natasya Puteri selamat diijabkabul

Astro Awani
Oktober 24, 2024 22:46 MYT
Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz. - Astro AWANI
KUANTAN: Anakanda Sultan Pahang, Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 8.50 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan.
Pasangan diraja itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, disaksikan oleh Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, sebagai saksi pertama.
Sementara itu, Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah bertindak sebagai saksi kedua, bersama dua saksi dari pihak pengantin perempuan.
Istiadat diteruskan dengan Majlis Menyarung Cincin Perkahwinan dan Majlis Merenjis, yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, diikuti oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Melengkapi majlis merenjis adalah ibu bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan dan Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini.
Turut hadir ialah paduka kakanda dan adinda Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, kerabat diraja Pahang, serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri.
Istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat ini, manakala Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad, 27 Oktober.
Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan satu layar di Dataran Pekan.
#pasangan diraja #Tengku Muhammad Iskandar #Tengku Natasya Puteri #Perkahwinan Diraja
;