Pasangan dera budak 2 tahun hingga mati 'penyayang dan penyabar' - Jiran

Shuhada Abdul Kadir
September 11, 2019 00:46 MYT
Jiran pasangan suami isteri itu mengakui terkejut sebaik menerima berita tersebut, memandangkan suspek dikatakan seorang yang peramah dan sangat baik dengan orang kampung.
Suami dari pasangan yang dipercayai mendera secara fizikal dan seksual seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga mati di Kandang, Melaka disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan tidak baran.
Menurut Mohd Zamri Mat Rahim, 46 tahun, yang merupakan jiran pasangan suami isteri itu mengakui terkejut sebaik menerima berita tersebut, memandangkan suspek yang juga bapa kepada tiga anak berusia 13, 15 dan lima tahun itu dikatakan seorang yang peramah dan sangat baik dengan orang kampung.
Katanya, dia dan isteri selama ini tidak mengetahui pasangan suami isteri itu ada menjaga kanak-kanak memandangkan dia tidak pernah ternampak anak kecil lain selain anak-anak kandung suspek di kediaman mereka.
"Tidak, memang tidak tahu, bila berita keluar mengatakan dia ada bela budak, saya terperanjat (sebab) saya tak pernah nampak. (Dia) tak pernah bawa, itu saya terperanjat (dan) saya tak tahu selama ni dia ada bela budak.
BACA: Budak dua tahun maut dipercayai didera fizikal dan seksual
"Dia orang yang senang berurusan, senang kerja. Rumah saya ni pun dia yang cat. Dia memang ambil kontrak mengecat rumah, sebab itu saya tak sangka, saya rasa bukan dia," kata Mohd Zamri ketika ditemui di kediamannya di Kampung Solok Bakar Batu, Kandang yang terletak kira-kira 20 meter dari kediaman suspek.
Menurutnya, suspek bekerja sebagai penebar roti canai di kedai makan milik kakaknya selain membuat kerja sambilan sebagai tukang cat.
Manakala suspek wanita pula sebelum ini bekerja di sebuah farmasi di Bandaraya Melaka sebelum membuat keputusan berhenti kerja atas kekangan menguruskan anak pergi dan balik sekolah.
Sementara itu isteri Mohd Zamir, Roslina Ahmad, 46 tahun berkata dia mengenali suspek lelaki itu sejak kecil lagi memandangkan mereka membesar di kampung yang sama.
"Dia memang orang yang tak pernah baran, ketawa dia ramah. Kalau dia nampak kita, mesti dia tegur. Bininya seorang pendiam, dia pun balik kerja dah petang, kita tak berapa (rapat) la.
"Tapi dengan dia (suami) memang dari dulu baik. Pernah dengar isteri dia berhenti (kerja) nak jaga budak, nak tambah pendapatan sebab dia dah berenti (kerja)," katanya.
Tambah Roslinda, dia yang merupakan suri rumah tidak pernah mendengar suara tangisan luar biasa kanak-kanak dari kediaman pasangan suami isteri itu memandangkan suspek disifatkan seorang yang sangat penyayang.
Kanak-kanak perempuan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai didera fizikal dan seksual oleh pengasuh dan suami pengasuhnya di sebuah rumah, di Kandang, Melaka semalam.
Pasangan itu kemudian diperintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
#Akta Kanak-kanak 2001 #budak dua tahun #budak perempuan #dera seksual #kandang #Mohd Zamri Mat Rahim #pasangan suami isteri #penyayang
;