Pasangan buta berjaya didik lapan anak
Sinar Harian
Februari 24, 2024 09:00 MYT
Februari 24, 2024 09:00 MYT
PASIR PUTEH: Ketabahan pasangan warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) mendidik lapan anak mereka berbalas selepas kesemuanya berjaya menjalani kehidupan mereka.
Sara Abu Kassim, 64, bersyukur kerana empat daripada lapan anaknya mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti dan mempunyai pekerjaan yang baik.
Mengakui sukar menjaga anak yang ramai ketika mereka masih kecil namun tanggungjawab yang dipikul berbaloi apabila anak-anaknya kini mampu membalas jasanya.
"Kehidupan yang miskin bukan alasan untuk saya mengabaikan persekolahan anak-anak kerana itu sahaja yang mampu diberikan untuk mengubah kehidupan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Abal pada Jumaat.
Menurut Sara, anak sulungnya merupakan lepasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur manakala anak kedua dan ketiga pula berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), masing-masing di Perlis dan Kelantan.
"Seorang lagi anak saya berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)," katanya.
Jelas Sara lagi, kesemua anaknya sudah dididik sejak kecil bahawa ilmu sangat penting untuk jaminan masa depan yang lebih baik.
"Saya dan arwah suami buta huruf dan tidak mempunyai harta. Jadi kami berusaha membesarkan anak-anak untuk mengubah kehidupan serta berjaya ke universiti.
"Saya juga selalu berpesan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh kerana melalui ilmu akan dipandang tinggi," katanya.
Jelas Sara ketika anak-anak masih kecil, arwah suaminya Mat Yunus Hamzah, bekerja sebagai pemuzik yang menjual tisu, sikat dan minyak urut tradisional di Kuantan, Pahang dan pulang ke kampung kira-kira dua minggu sekali.
Dalam tempoh itu juga kata Sara, dia turut menjual minyak urut tradisional dari rumah ke rumah setiap Jumaat dan Sabtu bagi menambah pendapatan suami.
Kongsi Sara lagi, rutin hariannya bermula jam 5 pagi dengan memasak sarapan untuk anak-anak ke sekolah dan ada yang mahu membawa bekal.
Selepas suaminya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, Sara berdikari dan menjual barangan itu di rumah bagi menghilangkan rasa bosan kerana anak-anak keluar bekerja.
"Ketika itu kehidupan kami tidak lagi sukar kerana tiga anak sudah mendapat pekerjaan yang baik tetapi saya tetap mahu berniaga secara kecil-kecilan bagi menghilangkan bosan berada di rumah," katanya.
Sara yang buta sejak berusia empat tahun akibat penyakit kayap juga lebih selesa tinggal di rumah peninggalan suaminya walaupun anak-anak memujuk untuk tinggal bersama.
"Alhamdulillah saya selesa tinggal di rumah sendiri dan anak-anak selalu menjenguk dan membawa makanan dan keperluan diri," katanya. - Sinar Harian