Pasangan bernikah di Thailand perlu daftar, denda tetap dikenakan - MB Perak

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 18, 2023 16:25 MYT
Pasangan tempatan dari Perak yang bernikah di luar negara termasuk di Thailand perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri itu bagi mengelakkan sebarang permasalahan pada masa hadapan, kata Datuk Seri Saarani Mohamad. - Gambar fail
IPOH: Pasangan tempatan dari Perak yang bernikah di luar negara termasuk di Thailand perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri itu bagi mengelakkan sebarang permasalahan pada masa hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi proses pendaftaran itu, Mahkamah Syariah Negeri akan membuat pengesahan terlebih dahulu ke atas perkahwinan itu.
Bagaimanapun, katanya mana-mana pasangan yang telah bernikah di luar negara akan berdepan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
“Dalam erti kata lain, perkahwinan di luar negara ini pasangan itu harus balik ke Perak dan mendaftarkan perkahwinan mereka dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Jika perkahwinan (di luar negara) itu disahkan berlaku (oleh Mahkamah Syariah) maka segeralah berdaftar di sini, namun mereka akan dikenakan denda yang mana jumlahnya akan ditentukan Mahkamah Syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Yusoff Razali.
Dalam pada itu, Saarani berkata sekiranya pasangan itu telah mendaftar perkahwinan mereka dengan JAIPk, anak yang dilahirkan boleh mendapat sijil kelahiran mengikut undang-undang.
“Jika perkahwinan pasangan itu telah disahkan maka, tidak ada masalah untuk anak mereka memperoleh sijil kelahiran.
“Memang tidak ada masalah perkahwinan di luar negara cuma, perlu mendaftarkan perkahwinan di negeri,” katanya lagi.
Mengulas Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak, Saarani berkata, sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan sejak tahun lalu.
Katanya, program itu bagi membantu dan menjaga kebajikan anak-anak yatim, yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19.
“Pada tahun 2022 sahaja, pihak Felcra Berhad telah menyumbang RM252,000 dalam bentuk pembayaran dividen keuntungan kepada para penjaga.
“Bagi pelaksanaan pada tahun 2023 pula, sebanyak RM432,000 akan diperuntukan pihak Felcra Berhad untuk program ini,” katanya lagi.
#kahwin di Siam #bernikah di Thailand #Jabatan Agama Islam Perak #Menteri Besar Perak
;