Pasangan 'berebut' dewan dengan SPR selamat diijab kabul

Isabelle Leong
Januari 19, 2019 17:33 MYT
Pasangan pengantin Muhamad Harith dan Syazleen Anisa Misria selamat diijab kabulkan pada Sabtu. -Astro AWANI/Isabelle Leong
Tular seketika dahulu kisah seorang bakal pengantin yang panik gara-gara dewan yang sepatutnya menjadi lokasi majlis perkahwinan mereka akan digunakan sebagai pusat mengundi.
Ia susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari iaitu tarikh persandingan kedua-dua mempelai itu.
Namun, hari ini, pasangan mempelai berkenaan selamat diijab kabul dan majlis perkahwinan mereka berjalan dengan lancar.
Persetujuan untuk menganjak tarikh majlis perkahwinan seminggu lebih awal memudahkan rundingan kedua-dua pihak.
BACA: Bakal pengantin panik gara-gara PRK Cameron Highlands, ini reaksi SPR
Bagi pengantin perempuan, Syazleen Anisa Misria Norzihan, kebimbangannya reda apabila perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera selepas komennya di laman Facebook SPR mendapat maklum balas pihak suruhanjaya.
“Perasaan saya, alhamdulilah. Majlis dapat berjalan lancar dan segala dugaan yang dilalui sebelum ini ditempuhi dengan lancar, dengan mudah sekali.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada SPR kerana membantu saya dalam melancarkan majlis perkahwinan saya iaitu pada hari ini, 19 Januari,” kata Syazleen Anisa Misria ketika ditemui di majlis perkahwinannya yang bertempat di SMK Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir bagi meraikan pasangan tersebut ialah calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.
Pengantin lelaki, Muhamad Harith Rosly juga melahirkan rasa gembira kerana perkenalan selama 10 tahun itu akhirnya membawa mereka ke gerbang perkahwinan.
“Kami sudah bersama lebih kurang 10 tahun.
“Memang saat ini ditunggu-tunggu. Memang ‘happy’ sangat kerana semua masalah sudah selesai,” kata Muhamad.
Menurut bapa pengantin perempuan Norzihan Rijaludin, segalanya berjalan dengan lancar walaupun tempahan katering, sewaan pelamin dan sebagainya dibuat lebih awal.
Pihak sekolah yang menyediakan dewan turut memberi kerjasama memudahkan majlis mereka.
Sebelum ini, Syazleen Anisa Misria menerusi Facebook SPR telah mengutarakan komen mengenai kebimbangannya yang dalam masa yang sama melibatkan pelbagai kesulitan kerana jurugambar, jurusolek dan pelamin telah ditempah enam bulan sebelum.
#Cameron Highlands #Muhamad Harith Rosly #Norzihan Rijaludin #perkahwinan #pilihan raya kecil #PRK #SMK Sultan Ahmad Shah #Suruhanjaya Pilihan Raya #Syazleen Anisa
;