Pasang 'sawar' sebagai langkah keselamatan pendaki di Gunung Irau
Tan Su Lin
Februari 23, 2017 08:59 MYT
Februari 23, 2017 08:59 MYT
Sebagai langkah keselamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands memasang 'sawar' atau pita keselamatan di laluan serta kawasan berisiko pendaki sesat atau cedera di trek Gunung Irau.
Ia tindakan penambahbaikan susulan kes kehilangan seorang pendaki wanita, Norfatin Sulaiman, 29, yang sesat ketika menuruni trek di gunung berkenaan pada Sabtu lalu.
Menurut Ketua Balai dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi, antara kawasan yang diletakkan sawar termasuk di lokasi mangsa sesat.
"Pendekatan ini bertujuan memberi keyakinan kepada para pendaki bahawa Gunung Irau masih selamat untuk sebarang aktiviti pendakian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ia juga sebagai langkah keselamatan tambahan daripada pemasangan papan tanda khas pada September lalu di 13 lokasi yang sering berisiko mengalami kes kecemasan di Gunung Irau.
Papan tanda berkenaan tercatat nombor telefon dan emel Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands.
Selain itu, ia turut tertera latitud dan longtitud lokasi tersebut.
“Papan tanda berkenaan adalah bagi membolehkan mangsa menghubungi pihak kami terus dan menyalurkan maklumat yang tepat. Ia sekaligus dapat memudahkan operasi SAR dijalankan pihak bomba terutama membabitkan maklumat mengenai keadaan sebenar mangsa, lokasi dan kecemasan yang dialami,” katanya.
Terletak di Cameron Highlands, Gunung Irau setinggi 2,110 meter sering menjadi tumpuan aktiviti pendakian.
Namun berbanding tiga lagi gunung lain di daerah berkenaan iaitu Gunung Brinchang, Gunung Jasar dan Gunung Berembun, Gunung Irau merekodkan kes terbanyak operasi SAR susulan pendaki menghadapi masalah kecemasan.