Pasang pagar, tambah tanda amaran di bekas tapak lombong Puchong
Bernama
Oktober 6, 2018 05:10 MYT
Oktober 6, 2018 05:10 MYT
Jabatan Pengairan Saliran (JPS) akan memasang pagar dan menambah tanda amaran bagi menghalang orang ramai masuk ke bekas tapak lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor yang meragut tujuh nyawa pada Rabu lepas.
Dalam satu kenyataan, JPS berkata jabatan itu mengambil serius aspek keselamatan di kolam takungan banjir itu memandangkan ia bukan kawasan bagi orang ramai melakukan aktiviti air dan riadah.
Sehubungan itu, beliau berkata cadangan pemasangan pagar menghala masuk ke jambatan akan dilaksanakan segera oleh JPS Negeri Selangor bagi menghalang orang luar masuk selain menambah papan tanda amaran.
Rabu lepas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, lemas selepas tergelincir ke dalam bekas tapak lombong itu ketika memancing bersama dua lagi rakannya.
Enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) turut maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy.
JPS berkata tragedi itu berlaku di kolam takungan banjir Lot 336, bekas tapak lombong dan digunakan sebagai kolam takungan bagi menampung air larian lebihan dari pembangunan di Cyberjaya dan sekitarnya
"Kolam tadahan berkenaan diwartakan di bawah Seksyen 48 Enakmen LUAS 1999 sebagai zon perlindungan kolam sumber air alternatif pada 27 April 2017," katanya.
JPS berkata kolam A (kedudukan outlet structure di lokasi kejadian) adalah Kolam Takungan Banjir dan digunakan juga sebagai sumber bekalan air alternatif.
"Berdasarkan kajian, kolam ini mempunyai simpanan kira-kira 1.5 juta meter padu dan anggaran pengambilan air ialah sebanyak 15 juta liter sehari," katanya.
-- BERNAMA
#Aktiviti air
#amaran
#bomba
#Jabatan Pengairan Saliran
#JPS
#kolam
#kolam takungan banjir
#lemas
#lombong
#pagar
#papan tanda
#Pasukan Penyelamatan di Air
#PPDA
#Puchong
#riadah
#Selangor
#Taman Putra Perdana
#zon perlindungan