'Pasang kuda kuda' hadapi ancaman siber
Hilal Azmi
Jun 8, 2017 17:50 MYT
Jun 8, 2017 17:50 MYT
Kerajaan memutuskan untuk menjadikan Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) sebagai agensi tunggal yang mengkoordinasikan semua agensi dalam menguruskan ancaman keselamatan siber.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Januari lalu untuk menubuhkan NCSA.
"Ini adalah komitmen serius kerajaan dalam menangani masalah ancaman siber yang datang dalam pelbagai bentuk dalam dunia maya dan internet.
"Pada dasarnya NCSA telah berkuat kuasa pada 1 Februari lalu di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan menggunapakai undang-undang sedia ada termasuklah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957, dan Akta Hasutan 1948," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di Perdana Putra pada Khamis.
Jelasnya, bagi memantapkan lagi strategi pengurusan keselamatan siber negara, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Mengenai NCSA yang dipengerusikan beliau pada Khamis membincangkan secara khusus kertas pertimbangan daripada MKN iaitu Pelaksanaan Keputusan Jemaah Menteri Mengenai NCSA.
"Ia membabitkan pengoperasian Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, penempatan dari aspek logistik NCSA di Markas SMART Pulau Meranti, Puchong.
"Selain itu, waran perjawatan bagi pegawai dan staf serta peruntukan kewangan yang terbabit dengan segala urusan pengoperasian NCSA diperincikan," jelasnya.