Pasang Jalur Gemilang terbalik di sekolah tidak disengajakan - KPN

Bernama
Ogos 20, 2019 07:57 MYT
Abdul Hamid berkata ia kesilapan yang jujur memandangkan bendera dipasang pekerja warga asing sekolah itu yang tidak memahami cara pemasangannya. - Gambar media sosial
Pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang, adalah perbuatan yang tidak disengajakan, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung isu terbabit dan mendapati pemasangan Jalur Gemilang itu, bukan niat bertujuan untuk mengaibkan atau merupakan satu manifestasi membantah di luar sekolah berkenaan.
"Saya difahamkan kes ini pemasangan Jalur gemilang yang diterbalikkan itu adalah kesilapan yang jujur dan ia dipasang oleh pekerja warga asing sekolah itu yang tidak memahami cara pemasangan jalur berkenaan.
"Saya menyeru kepada semua pihak supaya jangan cepat melatah dan jangan ada yang mengeksploitasi kes-kes sedemikian tanpa mendapatkan fakta sebenar," katanya kepada Bernama.
BACA: Isu Jalur Gemilang 'terbalik' didik rakyat mengenai protokol negara
BACA: Pasang bendera terbalik pengkhianatan terbuka kepada negara - Rizam
Abdul Hamid berkata perbuatan berkenaan bukan sesuatu yang dirancang untuk memberi mesej-mesej yang tertentu.
"Saya tidak mahu beri amaran lagi kepada orang ramai (isu sensitiviti perkauman)... kami siasat, kami kenal pasti dan kami terus tangkap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang baru-baru ini.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bador #amaran #bendera #bukan dirancang #eksploitasi #Jalur Gemilang #kesilapan #Ketua Polis Negara #manifestasi membantah #mengaibkan #mesej #Pahang #polis #sekolah #siasatan #terbalik #warga asing
;