Pasang bendera Kedah terbalik: Pemilik restoran, pekerja warga Bangladesh ditahan
Bernama
Ogos 22, 2020 00:08 MYT
Ogos 22, 2020 00:08 MYT
Polis menahan pemilik restoran makanan laut dan seorang pekerjanya warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes memasang bendera Kedah secara terbalik di sebuah premis di Pekan Pandak Mayah, Kuah di sini petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya sebelum itu menerima maklumat awam selepas gambar bendera Kedah yang dipasang secara terbalik di restoran tersebut tular di media sosial.
"Maklumat mengenai kejadian tersebut diterima kira-kira 6 petang, susulan itu sepasukan anggota polis telah pergi ke restoran berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati pemilik restoran itu, seorang lelaki berusia 58 tahun telah menyuruh seorang pekerja lelaki warga Bangladesh untuk memasang bendera Kedah namun tanpa disedari bendera tersebut telah dipasang secara terbalik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Iqbal berkata susulan itu, polis menahan pemilik restoran dan pekerjanya berusia 32 tahun untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63," katanya.
-- BERNAMA
#Bangladesh
#bendera terbalik
#Kedah
#Pekan Pandak Mayah
#pekerja asing
#pemilik restoran
#polis
#Polis Daerah Langkawi