Pas: Venue himpunan kebangkitan rakyat kekal

Astro Awani
Januari 2, 2013 06:54 MYT
Jawatankuasa induk himpunan kebangkitan rakyat 12 Januari depan tidak bercadang menukar lokasi himpunan yang diharapkan berjaya mengumpul kira-kira sejuta rakyat Malaysia.
Pengarah himpunan Mohamad Sabu menjelaskan pihaknya sudah membuat permohonan terhadap pengurusan Stadium Merdeka pada 26 Disember lepas.
Mohamad berkata biarpun belum mendapat sebarang jawapan dari pihak pengurusan Stadium Merdeka, pihaknya yakin permohonan akan diluluskan.
"Buat masa ini hanya Stadium Merdeka, saya yakin Perdana Menteri akan menunaikan janji, menepati janji," kata Mohamad Sabu.
Beliau menjelaskan jawatankuasa induk himpunan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memberikan kebenaran kepada pihaknya mengadakan perhimpunan 12 Januari ini di Stadium Merdeka.
Mohamad Sabu juga menjelaskan pimpinan utama Pakatan Rakyat akan bertemu dengan Ketua Polis Negara bagi membincangkan perkara tersebut dalam tempoh segera.
Sementera jawatankuasa induk himpunan pula akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur juga dalam masa terdekat.
Timbalan presiden Pas itu turut mengumumkan di akhir perhimpunan tersebut pihaknya akan melancarkan Deklarasi Rakyat 12 Januari.
Beliau juga berjanji perhimpunan tersebut akan berlangsung dengan aman. Himpunan tersebut akan berlangsung selama tiga jam bermula pukul dua hingga lima petang.
#Deklarasi Rakyat #Mohamad Sabu #Stadium Merdeka
;