Pas-UMNO: Tak perlu risau, titik persamaan menyatukan kami - Hadi Awang

Harits Asyraf Hasnan, Firdaus Azil
September 14, 2019 12:44 MYT
Pas dan UMNO, kata Abdul Hadi, berjaya meletakkan asas yang penting dalam Perlembagaan seperti kedudukan Islam, hak-hak agama lain, hak-hak Bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan sebagainya. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Titik persamaan yang wujud antara Pas dan UMNO menjadikan gandingan kedua-dua parti itu sebagai penyatuan yang relevan pada seluruh rakyat Malaysia.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain menjadi parti terawal dalam perjuangan kemerdekaan, Pas dan UMNO juga berjaya meletakkan asas yang penting dalam Perlembagaan seperti kedudukan Islam, hak-hak agama lain, hak-hak Bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan sebagainya.
Bagaimanapun, menurut beliau, perbezaan pandangan yang wujud sebelum ini adalah akibat salah faham melibatkan perkara teknikal dan bukan sesuatu yang di luar norma.
"Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal,
"Maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan," ujarnya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Sabtu.
BACA: Kami nak 'cium mulut' kami punya pasal - Tok Mat
Ahli Parlimen Marang itu turut menyeru semua pihak agar tidak perlu bimbang kepada perpaduan penyatuan kalangan Melayu yang dianjurkan Pas dan UMNO.
Katanya, Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk.
"Bermula dengan mengajak bangsa masing-masing bersama Islam tanpa paksaan, seterusnya menyatukan bangsa itu dan menghidupkan konsep masyarakat madani dengan menegakkan
negara berbilang kaum dan agama.
"Acuan ini pernah menyatukan bangsa Arab jahiliah yang paling degil, keras dan ganas dalam dunia, suka berperang, berbunuhan dan merompak sesama sendiri.
"Tiba-tiba Islam dapat melembutkan hati mereka, sehinggalah mereka bersatu bersama Islam dan menjadi bangsa yang mencipta tamadunnya sendiri dan mengislahkan semua tamadun yang lain, mengambil yang positif menolak yang negatif kepada kemanusiaan dengan petunjuk Al-Quran dan ketinggian akhlak," katanya.
Malah, kata Abdul Hadi lagi, sejarah menyaksikan Raja-Raja Melayu beragama Islam berjaya menyatukan rumpun Melayu dan masyarakat majmuk di rantau ini sehingga rakyatnya menerima agama Islam dan bahasa Melayu berhuruf Al-Quran menjadi bahasa rasmi Nusantara.
Bahkan, pengaruh bahasa Melayu juga masih ada sehingga kini dalam kalangan 300 juta jumlah penutur merangkumi Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Selatan Thailand dan bangsa Champa di Kemboja dan Vietnam.
BACA: PRU15 milik UMNO-Pas kalau betul 'gaul resepinya' - Tok Mat
#Himpunan Penyatuan Ummah #Pas - UMNO #Perlembagaan #PWTC
;