Pas tetap mahu bentang pindaan RUU 355 di Parlimen
Rahimah Abdullah
Mac 30, 2017 15:21 MYT
Mac 30, 2017 15:21 MYT
Pas akan tetap berusaha membentangkan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 di Parlimen.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Muhd Yusof pada masa sama mengingatkan semua ahli Parlimen beragama Islam agar takut kepada Allah jika ia tidak berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
"Saya seru kepada ahli Parlimen Islam, inilah masanya kita memberi sokongan kepada RUU 355 kerana kita sebagai orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah dan berjanji setiap kali sembahyang, dan kita baca yasin.
"Saya beri peringatan pada ahli Parlimen yang Islam, takutlah kepada Allah. Kita akan berdepan dengan Allah di akhirat, apa Perdana Menteri akan jawab atau menteri atau ahli Parlimen atau Speaker (akan jawab) sekiranya rang undang-undang ditolak. Apa nak jawab di hadapan Allah?," katanya dalam sidang media di bilik media di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Tambahnya, Pas akan konsisten dengan usaha membentangkan pindaan RUU 355 dibawa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara rang undang-undang persendirian.
"Apa yang dibentang sekarang ini pun dalam bentuk private bill (rang undang-undang persendirian) bukan kerajaan. Jadi tidak ada isu mengejutkan atau perkara pelik sebab kami konsisten sebab asalnya dibentang dalam bentuk private bill. Jadi kita Pas akan terus sokong," tegas beliau.
Jelasnya lagi, Islam sebagai agama rasmi negara dan RUU 355 perlu dipinda adalah untuk orang Islam.
"(Sudah) 32 tahun rang undang-undang ini tidak dipinda. Sebagaimana yang kita semua tahu setiap hari di Dewan Rakyat, banyak pindaan terhadap rang undang-undang. Kita tak kesah apa yang penting kepentingan rakyat," katanya lagi.
Kerajaan Barisan Nasional semalam membuat keputusan tidak akan membentangkan Pindaan RUU 355 di Parlimen.
Keputusan itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
#Dewan Muslimat PAS
#PAS
#Rang Undang-Undang 355
#RUU 355
#siti zailah muhd yusof
#syariah
#undang-undang