Pas Tanpa Had My50 diperluas ke Pulau Pinang

Bernama
Januari 8, 2019 15:31 MYT
Pas My50 dan My100 yang diperkenal pada 1 Dis tahun lepas, membolehkan pelanggannya menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50 atau RM100. - BERNAMA
Program Pas Tanpa Had My50 bagi fasa kedua, akan diperluas kepada pengguna bas RapidPenang menjelang pertengahan kedua tahun ini sebelum ke negeri lain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu sidang media di sini hari ini, beliau telah meminta Prasarana untuk kaji segera dan hasilkan cadangan,
Pas My50 yang diperkenal pada 1 Dis tahun lepas, membolehkan pelanggannya menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.
Turut dilancar bersama pas My50 ialah pas My100 yang membolehkan pelanggannya menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk MRT, LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.
Ditanya sama ada ia akan diperluas bagi perkhidmatan Rapid Ferry di Pulau Pinang, Loke berkata ia terserah kepada Prasarana untuk mengkaji kesesuaian dan mencadangkannya di dalam kertas kerja.
Loke menarik perhatian, kedua-dua pas berkenaan mencatat peningkatan jualan memberangsangkan, dengan 30,653 pas My100 dijual hanya dalam tempoh tujuh hari bulan ini berbanding 34,472 untuk sepanjang bulan lepas, manakala pas My50 sebanyak 726 pas berbanding 851 untuk tempoh sama.
"Walaupun belum capai sasaran tetapi ini satu unjuran memberangsangkan, saya yakin ada lebih ramai akan langgan, sasaran kita ialah supaya dapat 200,000 sekurang-kurangnya setiap bulan," katanya.
Terdahulu, beliau turut melakukan tinjauan menaiki MRT dan LRT dari Stesen MRT Kajang ke Stesen Bangsar, sambil mengambil maklum balas penumpang mengenai program berkenaan.
"Rata-rata makluman saya terima positif...ada yang kata dapat jimatkan perbelanjaan bulanan mereka sebanyak RM100, RM150 dan ada yang lebih RM200. Ada juga yang tukar dari guna kereta, mereka guna MRT sahaja untuk ke tempat kerja. Ini maklum balas positif untuk kita, yang kita paling seronok dengar ialah government has saved and reduce the cost of living (kerajaan dapat jimat dan kurangkan kos kehidupan)," katanya.
Loke berkata ini adalah contoh jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah mengotakan janji di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.
"Kepada pengkritik kerajaan yang selalu kata kerajaan 'u-turn' I want to say this is one clear example (saya ingin nyatakan bahawa ini contoh jelas) di mana kita tepati janji kita and we delivered within a short period of time as far as public transport is concern (dan kita kotakan dalam tempoh singkat berhubung pengangkutan awam).
"Bukan semua kita u-turn, tetapi memang ada perkara yang memang kita ada kekangan ada masalah, tapi things that we can do, we are very committed to deliver (perkara yang kita boleh lakukan, kita komited untuk capai)," katanya. -- Bernama
#Anthony Loke #MY100 #My50 #Pas Tanpa Had #prasarana #Rapid Penang
;