PAS tak setuju PRK DUN Kajang jadi agenda tukar MB Selangor - Nasrudin Hassan

Astro Awani
Februari 5, 2014 14:29 MYT
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan menegaskan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk menukar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya, Nasrudin menjelaskan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan parti itu tidak bersetuju menjadikan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai agenda menukar Menteri Besar Selangor.
Katanya, mesyuarat tersebut membuat keputusan tentang sikap PAS terhadap pilihan raya kecil DUN Kajang dan jawatan Menteri Besar Selangor.
"Keputusan yang dicapai juga ialah menetapkan bahawa isu pertukaran Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit dengan maksud PAS merasakan bahawa tiada keperluan menukar Menteri Besar Selangor yang ada sekarang.
"Dalam erti kata lain, PAS tidak bersetuju menjadikan pilihanraya kecil DUN Kajang sebagai agenda menukar Menteri Besar Selangor," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan di laman Facebooknya.
Beliau juga menegaskan dengan keputusan yang telah dibuat itu, jelas PAS mempunyai pendirian tersendiri secara jamaei dan tidak mudah untuk diseret ke tengah dan ke tepi.
Nasrudin turut mendakwa sebahagian anggota Lajnah Politik PAS Pusat tidak bersetuju tidak setuju dengan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh yang membawa berlakunya pilihan raya kecil.
"Berasaskan semangat setiakawan dan permuafakatan Pakatan Rakyat (walaupun sebahagiannya tidak bersetuju dengan perletakkan jawatan ADUN Kajang yang membawa kepada berlakunya pilihanraya kecil) maka PAS bersedia menghulurkan bantuan mengikut keperluan yang ada dalam pilihanraya kecil kali ini," katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 11 Mac manakala 23 Mac ditetapkan sebagai hari mengundi.
Kerusi DUN Kajang kosong berikutan perletakan jawatan ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.
Berikutan perletakan jawatan itu, PKR menamakan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung nanti.
#Anwar Ibrahim #BN #DUN #Kajang #Khalid Ibrahim #pilihan raya kecil #PKR #PR
;