Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff hari ini berkata, PAS pada hakikatnya bukan semakin lemah tetapi semakin kukuh kedudukannya dalam lanskap politik negara.

Menurut beliau, ini dibuktikan melalui Tahaluf Siyasi (kerjasama) parti itu dengan parti-parti sekutunya iaitu DAP dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat.

"Secara bersendirian, rekod PAS hanya berjaya memegang Kelantan dan Terengganu. Berbekalkan Tahaluf Siyasi, PAS akhirnya berjaya bertapak di beberapa negeri di Pantai Barat," kata Siti Zailah dalam ucaptamanya ketika perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat ke-53, pada Rabu.

Katanya, Tahaluf Siyasi di antara ketiga-tiga parti tersebut juga telah berjaya membawa PAS keluar daripada kawasan Pantai Timur.

Katanya lagi menerusi kerjasama itu juga, PAS kini mempunyai Exco teramai di Selangor selepas PRU13, 2013 serta tampil menjadi pembangkang yang kuat di Terengganu dan Perak dengan perbezaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sangat marginal.

"Dalam PRU13, meskipun PAS kehilangan Kedah, tetapi PAS berjaya meningkatkan jumlah kerusi di Selangor dan juga di Terengganu... menambah kerusi di Johor dan mendapat kerusi sulung di Melaka.

"Seandainya kerajaan negeri Kedah kita berjaya pertahankan, sebenarnya PAS akan berjaya meningkatkan kerusi DUN dan Parlimennya berbanding 2008," kata Siti Zailah lagi.

Selain itu, beliau berkata PAS juga pernah mengepalai kerajaan negeri di Perak, Kedah dan juga berpengaruh di Selangor.

Sementara itu Siti Zailah juga menyeru kepimpinan Dewan Muslimat agar memperuntukkan masa mendekati golongan muda dan golongan yang tercicir.

Katanya golongan-golongan perlu didekati mereka perlu mengenali ikon-ikon yang boleh dijadikan contoh bagaimana rumahtangga dan perjuangan Islam boleh diseimbangkan.

"Tanpa perkongsian ilmu dan pangalaman dengan generasi muda dan generasi tercicir ini, Dewan Muslimat akan ketandusan generasi pelapis yang berkualiti dan berkesan," tambahnya.

Dewan Muslimat mengadakan sesi Muktamarnya yang ke-53 bermula dengan majlis perasmian pada Rabu, 20 November dan pemilihannya pada Khamis, 21 November.

Muktamar Dewan Muslimat PAS kali ini bertemakan "Muslimat mantap, perjuangan berkat, negara selamat."

Majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.