Pas Selangor: Selagi ada bulan, bintang dan matahari, tiada kerjasama dengan Umno

Irwan Muhammad Zain
September 18, 2013 14:22 MYT
Pas Selangor menegaskan selagi ada bulan, bintang dan matahari, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno kecuali lawannya itu mengubah dasarnya.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib berkata selama ini banyak dasar-dasar Umno yang zalim dan tidak dipersetujui Pas menyebabkan kerjasama yang diharapkan sukar untuk dilaksanakan.
Katanya, jika Umno ikhlas mahu bekerjasama, parti itu perlu mengubah dasarnya kepada Islam seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.
"Banyak dasar-dasar Umno yang zalim contohnya kita lihat sekarang ada usaha untuk mengembalikan ISA, ini akta yang zalim, banyak pemimpin Pas yang dihukum menggunakan akta zalim ini.
"Kalau masih dengan dasar yang zalim, macam mana nak bekerjasama? Muryidul Am selalu tegaskan, nak kerjasama Umno perlu ubah kepada Islam," katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad.
Pandangan Saari turut dikongsi Khalid Samad yang menegaskan tidak ada ruang kerjasama dengan Umno selagi ia tidak mengubah dasar dan perjuangan parti itu.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, tawaran kerjasama yang sering diwar-warkan Umno hanyalah mainan politik parti itu semata-mata.
"Selagi Umno tetap Umno maka tidak ada ruang kerjasama, ia tidak akan langsung berlaku.
"Mereka cerita hendak kerjasama, seolah-olah Umno ini mahu jadi kawan kita lepas itu dia ketuk kepala kita, jadi bagaimana untuk kita mempercayai mereka," katanya.
Khalid berkata, jika Umno mahu bekerjasama dengan Pas, parti itu perlu menunjukkan keikhalasan mereka terlebih dahulu.
"Kalau nak berkawan, buat cara macam nak berkawan, bukan cakap nak berkawan tapi masih fitnah kami," katanya lagi.
Isu kerjasama Pas dan Umno ini timbul kembali selepas resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada Sabtu yang menyarankan agar kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dikaji semula.
Ekoran saranan tersebut, banyak pihak yang berpendapat, Pas perlu keluar dari Pakatan Rakyat dan bergerak sendirian atau bekerjasama dengan Umno untuk kepentingan orang Melayu.
Perkara titu turut dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa yang berkata demi kebaikan bangsa Melayu dan umat Islam, Umno terbuka untuk bekerjasama dengan Pas.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu sebenarnya telah disarankan banyak pemimpin Islam.
#Khalid Samad #Pas Selangor #Saari Sungib #UMNO
;