PAS sedia bincang cadangan boikot PRK Kuala Besut

Irwan Muhammad Zain
Jun 30, 2013 16:20 MYT
PAS sedia mempertimbangkan sebarang cadangan dari rakan dalam Pakatan Rakyat termasuk memboikot Pilihan Raya Kecil Kuala Besut yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata setakat ini PAS kekal dengan keputusan untuk menurunkan calon mereka dalam pilihan raya kecil Kuala Besut.
"Kami (PAS) sedia mendengar sebarang cadangan dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat termasuk yang akan dibawakan oleh Guan Eng supaya boikot pilihan raya kecil Kuala Besut.
"Ia cuma cadangan dari Guan Eng bukan keputusan muktamad Pakatan Rakyat jadi setakat ini PAS akan bertanding di Kuala Besut sehingga ada keputusan terbaru dari pimpinan Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi astro awani.
Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga menegaskan perkara sama dan menjelaskan sehingga kini PAS membuat persiapan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
"Setakat ini PAS membuat persiapan untuk bertanding kerana ada kekosongan di Kuala Besut dan kerusi tersebut kami(PAS) bertanding pada PRU-13," katanya kepada Astro Awani.
The Star Online melaporkan, Setiuasaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihaknya akan mencadangkan supaya PAS memboikot pilihan raya kecil Kuala Besut sebagai tanda protes terhadap 'taktik kotor' yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Guan Eng berkata beliau akan mencadangkan perkara tersebut dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat akan datang.
Kerusi DUN Kuala Besut kosong akibat kematian penyadangnya, Dr A. Rahman Mokhtar Rabu lepas. Beliau mempertahankan kerusi tersebut setelah menewaskan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Sementara itu, mengulas mengenai calon pula, Mustafa berkata pihaknya akan memutuskan calon yang bakal mewakili PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.
"Kami(PAS) akan putuskan calon bila tiba masanya dan setakat ini ada beberapa nama yang akan dipertimbangkan sebagai calon di Kuala Besut," katanya.
Antara nama yang disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon di DUN Kuala Besut ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor, calon PAS Parlimen Besut dalam PRU 13 lalu.
Selain itu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh juga dikatakan antara nama yang dicadangkan selain bekas calon di DUN tersebut pada PRU-13 lalu, Napisah Ismail dan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan azhar.
Turut disebut adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Ahmad Sabki Yusof dan juga Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsury Mokhtar. Kedua-duanya berasal dari Besut.
#Kuala Besut #Mat Sabu #Mustafa Ali #PRK
;