Pas perjalanan My30 laku keras, lebih 21,000 dijual dalam sehari
Ridauddin Daud
Jun 16, 2020 15:33 MYT
Jun 16, 2020 15:33 MYT
Pas perjalanan tanpa had My30 yang mula dijual pada Isnin menerima sambutan hangat apabila 21,403 pas berjaya dijual pada hari pertama pelaksanaannya.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, orang ramai dilihat beratur seawal jam 6 pagi di kaunter khidmat pelanggan RapidKL bagi melanggan pakej itu.
“Pada hari pertama pengenalan My30 semalam, sebanyak 21,403 pas perjalanan My30 telah dijual. Kami menjangkakan bilangan ini akan terus meningkat dari hari ke hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pelanggan harian tertarik dengan pakej itu kerana mendapat lebih penjimatan dan Muhammad Nizam menjangkakan ia juga mampu menarik minat pengguna baharu khususnya yang belum pernah menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.
“Pengenalan pakej ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Inisiatif ini juga diharap akan dapat membantu melonjak kembali jumlah pengguna pengangkutan awam seliaan Prasarana.
“Daripada 2,209 percakapan mengenai My30 di jaringan media sosial, lebih 85 peratus komen yang diterima adalah sangat positif dan kami amat berterima kasih kepada semua pengguna yang mendokong kami selama ini,” ujarnya.
Pakej itu terbuka kepada semua warganegara yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas seliaan Prasarana di Lembah Klang sahaja dan menerusi pakej tersebut, pengguna hanya bayar RM1 sehari untuk menggunakan perkhidmatan awam secara tanpa had.
Pengguna yang belum melanggan pakej My30 boleh berbuat demikian di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan juga 5 hab bas Rapid KL di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memperkenalkan Program My30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam.
Menurutnya, inisiatif itu terbuka kepada semua warganegara dan berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga hujung tahun ini.
Pengumuman itu dibuat dalam siaran langsung pembentangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas.
#ekonomi
#Kajang
#kerajaan
#Klang
#Kuala Lumpur
#LRT
#Media
#media sosial
#MRT
#Muhyiddin Yassin
#My30
#operasi
#PAS
#PENJANA
#Perdana Menteri
#prasarana
#rakyat
#shah alam