'PAS pentingkan isu remeh-temeh'

Bernama
Oktober 29, 2013 23:35 MYT
Tindakan PAS membangkitkan isu tarikh luput susu sumbangan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk menunjukkan parti itu hanya pentingkan isu remeh, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata desakan PAS agar Anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf berhubung perkara itu juga satu cubaan PAS mengalih perhatian daripada isu poster palsunya.
"Saya pun dapat rungutan daripada akar umbi macam-macam tentang barangan yang diberi oleh PAS, tapi kita tak gembar-gemburkan, sebab kita nak tengok pembangunan untuk rakyat di Sungai Limau. Kita nak tengok perkara yang amat mustahak," katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Shahrizat yang sebelum itu merasmikan Program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) Bersama Ibu Tunggal, diminta mengulas laporan portal berita HarakahDaily yang memetik Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar mendesak Abdul Azeez bertanggungjawab terhadap insiden susu tamat tempoh berkenaan.
"Mereka (PAS) dah termalu, macam-macam angkara mereka dah buat dengan autanya, faktanya... apabila orang dah dapat tahu, mereka ambil isu tin susu (tamat tempoh) tu pula," kata Shahrizat.
Sementara itu Abdul Azeez dalam satu kenyataan di sini, berkata tindakan PAS berkenaan merupakan satu pendekatan terdesak dalam menagih sokongan dan simpati rakyat di Sungai Limau menjelang hari pengundian 4 Nov ini.
"Ini merupakan satu isu yang sengaja diadakan untuk mewujudkan sentimen kebencian pengundi. Ini kerana saya dimaklumkan hanya seorang sahaja tampil, kononnya menerima pemberian bungkusan makanan yang mengandungi satu tin susu telah tamat tempoh," katanya.
"Dalam pilihan raya macam-macam perkara boleh terjadi, perkara yang tak ada pun boleh diadakan. Contohnya gambar-gambar 'superimposed menggunakan teknik photoshop antara calon PAS dengan Allahyarham Tan Sri Azizan," katanya lagi.
Beliau juga menempelak PAS kerana menggunakan isu bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dikatakan menyokong calon PAS.
"Apabila saya bertemu dan bertanya sendiri kepada beliau, pakcik Baharom menafikan dakwaan tersebut," katanya.
HarakahDaily melaporkan satu tin susu yang diberi bersama-sama tepung gandum, beras dan gula kepada penduduk di Sungai Dedap didapati terluput tiga hari lepas, manakala pada bahagian luar beg plastik tertera nama dan gambar Abdul Azeez.
#Ketua Wanita Umno #PAS #Shahrizat Abdul Jalil #susu #tarikh luput