PAS, PasMa kemaruk tunjuk kesetiaan dengan DAP dan PKR - Fairus

UMNO Online
Januari 28, 2015 12:24 MYT
FAIRUS: PAS, PasMa kemaruk tunjuk kesetiaan dengan DAP dan PKR - Gambar fail
PAS dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dilihat kemaruk untuk menunjukkan kesetiaan terhadap DAP dan PKR setelah masing-masing mula bersuara sekali gus menimbulkan pertelagahan terbuka antara kedua-dua pihak berkenaan.
Perang terbuka antara PAS dan PasMa yang sebelum ini suam-suam kuku hari ini dianggap menjadi medan terbuka setelah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula bersuara ‘garang’ terhadap entiti baru berkenaan yang kemudiannya dibalas pula oleh Pahrolrazi selaku Presiden PasMa.
Mengulas mengenainya perkara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin berkata sewajarnya PAS sudah pun 'mufaraqah' dengan gabungan pembangkang setelah parti dilihat sekadar pelengkap kepada gabungan pakatan berkenaan.
Namun menurut beliau apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila PAS dilihat bersaing dengan PasMa untuk terus kekal dan terus berada di dalam pakatan pembangkang
"Gabungan pembangkang sebenarnya sudah tidak lagi relevan dalam konteks memperjuangkan bangsa dan rakyat negara ini kerana masing-masing dilihat hanya mengutamakan survival mereka semata-mata. Sepatutnya Pas sudah lama angkat kaki meninggalkan gabungan tersebut.
"Dengan apa yang berlaku hari ini, nampaknya mereka bersaing dan berlumba-lumba pula untuk dijadikan alat di dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR. Sekali fikir memang pelik juga," katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya menambah pergeseran yang berlaku hari ini sebenarnya meruntuhkan kredibiliti PAS itu sendiri.
"Jika diperhalusi sebenarnya imej PAS sebenarnya telah lama runtuh dan perkembangan terbaru kali ini meranapkan lagi wajah sebenar PAS,” ujarnya.
PasMa 'dipersilakan' meninggalkan Pas sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.‎
Dilaporkan Presiden Pas itu dengan berkias meminta semua pihak di dalam parti Islam itu agar jangan membocorkan dan merosakkan 'bahtera' parti sekiranya mereka merasakannya bergerak perlahan dan mempunyai kekurangan.
Manakala reaksi PasMA pula, pihak tidak bersetuju dengan prinsip Pakatan Rakyat yang sepatutnya keluar daripada Pas kerana muktamar Pas sebelum ini memutuskan bersama dengan Pakatan, kata Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.
#DAP #PAS #PasMa #pembangkang #PKR
;