PAS optimis RUU355 dibentang pada sidang Parlimen kali ini
Harits Asyraf Hasnan
Julai 26, 2017 15:03 MYT
Julai 26, 2017 15:03 MYT
PAS optimis Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) akan dibahaskan pada sidang parlimen yang sedang berlangsung kali ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tiada sebab untuk usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak boleh dibahaskan.
Tambahnya, susunan giliran usul dalam Aturan Urusan Mesyuarat bukan alasan untuk ia tidak dibahaskan.
"Tidak kisah sama ada nombor 10, atau 17 atau 27 sekalipun sebab bagi kami RUU ini telah dibahas sebahagiannya.
"Jadi ia perlu diberi keutamaan dan kita mengharapkan usul persendirian yang dibawa oleh Marang ini akan dibenarkan untuk dibahaskan terus oleh Ahli-ahli Parlimen lain.
"Dan kami masih lagi optimis bahawa Tan Sri Speaker (Pandikar Amin Mulia) akan memberi kebenaran untuk dibahaskan," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang itu tidak menjadi halangan untuk RUU itu dibahaskan.
Usul Persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) telah dibacakan pada 6 April 2017 lalu.