Pas nafi arah ahli turun ke mahkamah sokong Sanusi
Sinar Harian
Julai 17, 2023 00:20 MYT
Julai 17, 2023 00:20 MYT
SHAH ALAM: Pas nafi mengarahkan ahli parti untuk turun beramai-ramai ke Mahkamah Sesyen Selayang bagi memberi sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa terhadap pertuduhan mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Penafian itu dibuat menerusi grup WhatsApp, Penerangan dan Media Pas pada Isnin.
Terdahulu, satu tangkap layar tersebar di media sosial yang mendakwa Pas telah mengarahkan seramai 200,000 ahli parti tersebut, khususnya di Selangor dan Kedah untuk turun ke Mahkamah Sesyen Selayang.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi dipercayai akan didakwa di Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang berhubung kenyataan mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.
Menerusi semakan laman mahkamah, Muhammad Sanusi Md Nor akan didakwa di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.