Pas minta tol percuma di empat lebuh raya dikaji

Bernama
Februari 24, 2019 05:28 MYT
Idris Ahmad berkata kerajaan sepatutnya menimbang memansuhkan kutipan ketika waktu puncak, bukan dari 11 malam hingga 5 pagi. - Gambar hiasan
Pas meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan tempoh tol percuma bagi empat lebuh raya yang disifatkan parti itu sebagai kurang berkesan dalam membantu meringankan beban hidup rakyat.
Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata, kerajaan sepatutnya menimbang memansuhkan kutipan ketika waktu puncak, bukan dari 11 malam hingga 5 pagi yang akan dilaksanakan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) serta Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya SMART.
"Jadi apabila buat (tol percuma) antara pukul 11 malam hingga 5 pagi itu, tidak tercapailah matlamat sebenarnya. Sebab apa buat waktu itu? (Sepatutnya) waktu kesesakan trafik orang pergi kerja itu yang patut di buat secara percuma. Itu tujuannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi minum petang bersama penduduk setempat anjuran Lajnah Penerangan PAS Perak di Batu 1, di sini, pada Ahad.
Pas juga berharap kerajaan Pakatan Harapan mengotakan janji menghapuskan tol seperti yang dilaungkan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, katanya.
-- BERNAMA
#caj kesesakan #Idris Ahmad #lebuh raya #mansuh tol #tol #waktu puncak
;