Pas minta kerajaan teliti jangkaan kenaikan harga di kantin sekolah - Khairil Nizam

Astro Awani
Ogos 7, 2024 14:45 MYT
Khairil Nizam berkata, dengan peningkatan kos saban tahun, pengusaha kantin agak terkesan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pas meminta kerajaan mencari penyelesaian terbaik terhadap isu lebih 10,000 pengusaha kantin dijangka menaikkan harga makanan sebanyak 50 peratus pada tahun depan.

Ringkasan AI
  • Kenaikan Harga Makanan Kantin Sekolah: Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas menyeru kerajaan untuk meneliti isu kenaikan harga makanan di lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah. Penguatkuasaan berhubung penggunaan barangan bersubsidi menjadi faktor utama dalam kenaikan ini.
  • Kelangsungan Pengusaha Kantin: Pengusaha kantin, terutamanya yang kebanyakannya adalah warga emas dan pengusaha kecil-kecilan, menghadapi kesulitan akibat peningkatan kos saban tahun. Margin keuntungan yang munasabah menjadi penting untuk kelangsungan jualan makanan di kantin sekolah.
  • Cadangan Solusi: Pas mencadangkan mekanisme khusus melalui Kementerian Pendidikan untuk pengusaha kantin sekolah memohon subsidi atau bantuan kewangan bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat. Program Rancangan Makanan Tambahan juga perlu diperkemaskan, terutamanya untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, dengan peningkatan kos saban tahun, pengusaha kantin agak terkesan dengan apatah lagi apabila mereka tidak dibenarkan menggunakan barangan bersubsidi.
Menurutnya, kelangsungan semua pengusaha itu banyak bergantung kepada kos dan margin keuntungan yang munasabah untuk jualan makanan di kantin sekolah di seluruh negara.
Tambah beliau, kerajaan perlu meneliti dan mengambil kira keadaan pengusaha kantin sekolah yang kebanyakannya adalah warga emas dan pengusaha kecil-kecilan.
“Pas juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan satu mekanisme khusus melalui Kementerian Pendidikan.
“Ia adalah supaya pengusaha kecil kantin sekolah boleh membuat permohonan subsidi atau bantuan kewangan khusus untuk pengusaha kantin sekolah bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat,” katanya.
Tambah beliau, Pas juga mencadangkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diperkemaskan, memanfaatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan di bawah garis kemiskinan nasional.
“Kerajaan juga perlu melihat dari sudut pandang pihak ibu bapa yang merasai kesan kenaikan harga barang.
“Kerajaan juga perlu meneliti tuntutan ibu bapa yang berharap agar harga makanan di kantin sekolah dijual pada kadar yang munasabah terutamanya di sekolah-sekolah di luar bandar,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook beliau pada Rabu.
Kenyataan itu adalah respons terhadap kenyataan daripada Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah baru-baru ini yang memberi bayangan harga makanan di kantin sekolah dijangka meningkat.
#Kementerian Pendidikan #PAS #kantin sekolah #Khairl Nizam Khirudin
;