PAS kesal dengan keputusan Mahkamah Tentera yang menjatuhkan hukuman pemecatan ke atas Mejar Zaidi Ahmad daripada perkhidmatannya atas alasan beliau telah memberikan kenyataan akhbar tanpa kebenaran, dan dan menggesa supaya keputusan itu disemak kembali.

Kekesalan itu dizahirkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di ibu negara hari ini,.

"Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerana beliau mendedahkan bahawa dakwat kekal yang digunakan dalam proses pilihanraya adalah tidak kekal.

Menurut Mahfuz, keberanian Mejar Zaidi itu sepatutnya dipuji kerana telah tampil ke hadapan bagi menegakkan kebenaran.

"Ini lain yang berlaku. Mejar Zaidi pula yang dihukum sedangkan pihak yang membekalkan dakwat tidak kekal itu terlepas," ujar Mahfuz yang turut meminta pihak berkenaan memberi pertimbangan adil memandangkan Mejar Zaidi tiada rekod disiplin buruk dan sudah berkhidmat dengan baik sepanjang lebih dua dekad.

Mejar Zaidi didapati bersalah kerana melanggar dua perintah tetap iaitu bercakap dengan pihak media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera.

"Tindakan pemecatan itu tidak selaras dengan hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran," kata Mahfuz.

Mahfuz mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan Mejar Zaidi bermula dengan mengenali bapa mertua Zaidi yang pernah berkhidmat dengan PAS.