PAS Johor sokong keputusan Sultan Johor tukar cuti mingguan
Astro Awani
November 23, 2013 16:42 MYT
November 23, 2013 16:42 MYT
Susulan pengumuman oleh Sultan Johor mengenai pertukaran cuti mingguan di negeri tersebut kepada Jumaat, PAS Johor menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap keputusan itu.
Sokongan tersebut dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam satu usul tergempar di Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati di sini, hari ini.
"PAS negeri Johor menjunjung kasih atas titah Sultan Johor sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-55. Baginda Sultan bertitah bahawa cuti mingguan di negeri Johor dikembalikan semula pada hari Jumaat bermula Januari 2014.
"Kami menyokong sepenuhnya keputusan Sultan Johor mengembalikan semula cuti mingguan ini kerana semenjak zaman penjajahan hingga 1993, cuti mingguan di Johor adalah pada hari Jumaat. Namun, ia telah ditukar ke hari Ahad semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor dahulu bermula awal tahun 1994," kata Dr Mahfodz.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang medianya menegaskan PAS menyerahkan keputusan untuk menukar hari cuti mingguan bergantung kepada negeri masing-masing.
Awal hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar ke Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari depan.