Pas gesa PM henti naratif kembalikan pilihan raya PBT
Afiezy Azaman
Disember 19, 2023 10:00 MYT
Disember 19, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal dan menghentikan naratif untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang dicadangkan beberapa pihak dari parti kerajaan.
Ini kerana, kata Pas, pemansuhan pilihan raya PBT antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, DAP menguasai hampir keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur sekali gus berisiko menzahirkan citra politik etnik tinggal daripada segi perwakilan yang akan dipilih kelak.
"Sehubungan itu, Pas memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air, terutamanya yang melibatkan pemimpin veteran DAP kerana mendapati ia sangat tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
"Selain itu, hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Pada Ahad, syor diadakan pilihan raya PBT mendapat perhatian semula apabila DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan semulanya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Cadangan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras dikemukakan pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur.
Takiyuddin menambah, cadangan Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengenai Perdana Menteri bukan Melayu serta impian sebuah negara hebat yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, bukan negara etnik tunggal juga mencetuskan kegemparan.
"Berbeza dengan Lim (Kit Siang) yang menyebut ucapannya itu hanyalah pernyataan fakta, bukan realiti, Kok Wai tidak pula meletakkan caveat kepada gesaannya itu walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini telah menegaskan bahawa pilihan raya PBT bukanlah keutamaan kerajaan pada masa ini," katanya.
Takiyuddin turut menggesa Kok Wai untuk lebih peka dan sensitif terhadap pendirian dan dasar kerajaan semasa sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini.
"Jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua kenyataan Kit Siang dan Kok Wai dihiasi dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat bertaraf dunia, multiculturism, demokrasi, kecekapan pentadbiran dan sebagainya, namun gesaan Kok Wai ternyata bercanggah dengan penolakan Kit Siang terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian Perdana Menteri bukan Melayu penasihat DAP itu," ujarnya.
Justeru, Takiyuddin berkata, Pas beranggapan kedua-dua kenyataan Kok Wai dan Kit Siang jelas bermotifkan pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan negara.
"Ini dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan munasabah.
"Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan ideologi dan parokialismenya," katanya lagi.