PAS gesa Bank Rakyat jawab skandal pinjaman RM32 juta didakwa 'diluluskan' oleh menteri

Aizat Sharif
Mei 29, 2014 15:50 MYT
Mahfuz mempersoalkan tindakan Bank Rakyat yang meluluskan pembayaran balik tanpa faedah
Parti Islam Semalaysia (PAS) menuntut jawapan daripada Bank Rakyat atas skandal pinjaman RM32 juta daripada bank itu oleh seorang ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan yang didakwa diluluskan sendiri oleh seorang menteri kabinet.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata keputusan yang dibuat oleh menteri itu jelas bertentangan dan bercanggah dengan keputusan yang terlebih dahulu dibuat oleh lembaga pengarah bank tersebut yang tidak mengizinkan sebarang penstrukturan semula pinjaman yang dibuat oleh Deepak yang dikatakan telah dirunding dan dipersetujui di pejabat menteri sebelum itu.
“Ini sangat bercanggah dengan semangat ‘corporate-governance’ yang memperlihatkan masa depan Bank Rakyat kini sangat membimbangkan dan kesan campur tangan menteri ini akan dibimbangi mengulangi apa yang pernah berlaku pada Bank Bumiputera melalui skandal BMF yang melihat terdapat campur tangan ahli politik dalam hal tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS, di sini pagi tadi.
Tambahnya lagi, Bank Rakyat mempunyai lembaga pengarah mereka tersendiri namun apabila keputusan meluluskan pengstrukturan semula pembayaran balik tanpa melibatkan faedah bagi pinjaman tersebut hanya akan menyebabkan kerugian kepada Bank Rakyat itu sendiri.
“Saya ingin tanya kepada pihak pengurusan bank berapa banyak kehilangan keuntungan berdasarkan penstrukturan semula pinjaman ini dan bila pinjaman ini dibuat,”.
“Mengapa perbincangan untuk membayar hutang perlu diadakan di pejabat menteri sendiri Persoalan yang timbul di sini juga apakah kelebihan dan keistimewaan lelaki bernama Deepak ini? Adakah dia pemegang syer atau ahli koperasi dalam Bank Rakyat dan kita mahukan penjelasan daripada pihak bank adakah penstrukturan semula pinjaman ini adalah disebabkan peminjam itu gagal membayar pinjaman dan jika itu berlaku mengapa tiada tindakan undang-undang dikenakan kepada peminjam,” soal Mahfuz.
Beliau menjelaskan tindakan menyalahgunakan kuasa oleh menteri tersebut perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu. pihak pengurusan Bank Rakyat gagal dihubungi untuk menjelaskan perkara tersebut.
Dalam laporan portal berita, The Malaysian Insiders semalam mantan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa bank tersebut telah meluluskan penstrukturan semula pembayaran 10 tahun tanpa sebarang faedah keatas seorang ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan.
Keputusan yang pada awalnya telah menolak pelan penstrukturan semula pembayaran balik itu terpaksa ‘diluluskan’ kerana didakwa terdapat campur tangan politik daripada seorang menteri.
Sabbaruddin yang membantah keputusan tersebut telah tidak disambung kontraknya yang berakhir pada April lalu.
#Bank Rakyat #Deepak #PAS #pinjaman
;