PAS di peringkat akhir persediaan saman Sarawak Report

Muhafandi Muhamad
September 17, 2016 03:29 MYT
Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, barisan peguam yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sedang menyiapkan dokumen berkaitan.
PAS kini di peringkat akhir persediaan prosiding saman terhadap Sarawak Report berhubung dakwaan pemimpin parti itu menerima sejumlah RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, barisan peguam yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sedang menyiapkan dokumen berkaitan.
"Peguam sudah ada cuma perlu sedia bahan untuk dikaji. Proses diserahkan kepada kumpulan yang diketuai oleh Datuk Takiyuddin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Munajat Perdana Rakyat Kelantan Sokong Rang Undang-Undang Persendirian 355 di sini, semalam.
Sementara itu, Datuk Takiyuddin memaklumkan, PAS sudah berjaya mendapatkan khidmat 'Queen Council' di London.
Peguamnya, Adam Tudor juga pernah mengendalikan kes saman Abdul Hadi ke atas sebuah akhbar sebelum ini.
"Kita telah mendapatkan khidmat Queen Council dan beliau telah bersetuju untuk mengambil kes kami. Biasalah, kes besar kita perlu menggunakan khidmat peguam dan kita di bawah lujnah undang undang dan dokumen itu kita akan kemukakan kepada beliau.
"Kita tak perlu bimbang kes sebegini mempunyai had enam tahun. Jadi kita perlu ada dokumen dan peguam akan meneliti serta beri notis supaya proses itu berjalan," katanya.
Bulan lalu, Sarawak Report yang berpengkalan di London, menerbitkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri merayu supaya PAS menjauhi gabungan pembangkang dan mengalirkan RM90 juta kepada pemimpin tertinggi parti itu.
#Najib Tun Razak #PAS #Perdana Menteri #prosiding #saman #Sarawak Report