Pas desak kerajaan kaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais bagi OMV
Umavathi Ramayah
Januari 24, 2025 08:00 MYT
Januari 24, 2025 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV) ke atas kereta pemasangan tempatan (CKD) yang dijangka menyaksikan kenaikan harga antara 10 dan 30 peratus.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, pelaksanaan yang dijadualkan bermula tahun depan itu pastinya memberi kesan besar kepada pengguna serta industri automotif di Malaysia.
"Pelaksanaan semakan cukai eksais ini mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat-syarikat automotif tempatan, terutamanya yang terlibat dalam pemasangan kereta secara CKD.
"Ia juga merencatkan pelaburan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran automotif yang berdaya saing di rantau ASEAN ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Ahli Parlimen Jerantut itu juga menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, dengan memastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak merugikan golongan pengguna, terutama dalam sektor yang menjadi keperluan asas seperti pengangkutan.
"Kenaikan cukai oleh Kerajaan Madani seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai digital dan cukai terhadap barangan tertentu dan penyelarasan subsidi diesel sememangnya memberi kesan kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.
"Usahlah terus membohongi rakyat yang telah memberikan kepercayaan terhadap janji pilihan raya Pakatan Harapan tetapi akhirnya hanyalah menjadi 'Janji Tinggal Janji'," katanya.
#Khairil Nizam Khirudin
#industri automotif
#kereta pemasangan tempatan
#cukai eksais
#kos sara hidup