PAS cadang pecah pengundi ikut umur

Astro Awani
Mei 9, 2013 04:43 MYT
PAS mencadangkan agar pecahan pengundi di sesuatu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat dengan tidak lagi mengikut komposisi kaum semata-mata sebaliknya dipecahkan mengikut umur dan jantina sebagai antara usaha menangani politik perkauman.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata telah mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan dari segi perpaduan kaum.
Jelas beliau, pecahan pengundi mengikut kaum menyebabkan semua pihak akan berbicara tentang permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku sekarang.
"Cukuplah rakyat dan negara ini dipakaikan cermin mata berdasarkan pecahan kaum. Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kaca mata yang lebih menjurus ke arah perpaduan," katanya dalam satu kenyataan media.
Tuan Ibrahim memberikan contoh permainan sentimen perkauman yang melampau selepas BN mencatat rekod terburuknya dalam sejarah sebagai bukti kepada perkara yang dibangkitkannya itu.
Jelas beliau, sudah sampai masanya perkara ini dirombak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.
"Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan," katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, sekiranya data yang dikeluarkan adalah mengikut usia, parti politik dan ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.
Langkah itu juga, katanya, boleh mengurangkan risiko ada mana-mana pihak yang sengaja menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi meraih undi.
Tambah beliau, perkara itu boleh dilakukan oleh SPR mulai sekarang ketika ia membersihkan daftar pengundi dan ia tidak susah kerana "segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi."
Selain itu, PAS juga mencadangkan agar sistem pilihan raya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti dan jumlah peratusan undi akan mewakili sesebuah parti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
"Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding (apabila) jumlah kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima secara keseluruhan," katanya.
Beliau berharap semua cadangan itu akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh SPR demi lebih memakmurkan demokrasi negara.
Dalam pilihan raya umum ke-13 yang baru lalu, Barisan Nasional menang 133 kerusi Parlimen manakala PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang membentuk Pakatan Rakyat menang 89 kerusi.
Bagaimanapun dari segi jumlah undi popular, BN hanya memperolehi 5.238 juta undi berbanding Pakatan Rakyat 5,624 juta undi.
#Parlimen #PAS #pengundi #PRU-13 #PRU13 #SPR