Pas bayar lebih RM1 juta kepada editor Sarawak Report?
Astro Awani
Februari 26, 2019 20:20 MYT
Februari 26, 2019 20:20 MYT
Pas digesa menjelaskan sama ada parti itu membuat bayaran lebih RM1 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan kedua-dua pihak.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjelasan itu perlu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap Sarawak Report.
Katanya, beliau melihat terdapat beberapa percanggahan fakta pemimpin PAS berhubung isu berkenaan, malah dakwanya tidak selari dengan kenyataan afidavit Clare.
"Saya nak tanya apakah ada bayaran yang diberikan kepada Clare daripada Pas? Lebih RM1 juta, boleh tak disahkan?
"Penyelesaian luar mahkamah itu bukan sekadar mengatakan Clare boleh tak tarik balik tapi dibayar. Jadi saya nak tahu itu," kata Anwar.
Pada masa sama, Anwar turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar membuat penjelasan menyeluruh berhubung siasatan ke atas dana RM90 juta yang didakwa diterima PAS, sekali gus mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
"Sepatutnya SPRM beri keterangan yang menyeluruh. Kalau begini maknanya rakyat tak dapat kelirukan. Katanya kutip daripada orang ramai tapi sebenarnya dana daripada UMNO," kata Anwar.
Anwar berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada majlis Penang International Business and Investment Summit (PIBIS) di Hotel Equatorial di Bukit Jambul, di sini pada Selasa.
Pada 1 Februari lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan saman terhadap editor Sarawak Report itu.
Langkah berkenaan dibuat selepas Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah dalam kes yang difailkan di London, United Kingdom.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.
Laporan itu antara lain mendakwa Presiden Pas itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Bagaimanapun Brown memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah berkenaan pada April 2018, antara lain atas alasan intimidasi saksi.
#Abdul Hadi Awang
#Anwar Ibrahim
#Clare Rewcastle Brown
#kes saman
#penyelesaian luar mahkamah
#RM90 juta
#Sarawak Report