Pas bantah pelancaran bar jemput 'Thai Hot Guy', guna nama Tun Razak
Afiezy Azaman
Mac 22, 2023 08:20 MYT
Mac 22, 2023 08:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pas menyatakan kekesalan dan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar dikenali 'Privacy Club Tun Razak' di Jalan Tun Razak, ibu negara, pada 30 Mac ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berdasarkan makluman mengenainya di laman media sosia Facebook, pembukaan rasmi itu akan dipersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita dikenali sebagai 'Thai Hot Guy' sebagai tarikan utama.
"Ini sebagai keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan, Takiyuddin berkata, acara itu mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.
"Malah ia turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Sehubungan itu, Takiyuddin menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan.
Ini kerana, katanya, acara itu jelas berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan apatah lagi diadakan pada bulan Ramadan.
"Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.
"Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.
"Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini," ujar beliau lagi.
Takiyuddin turut melahirkan kekesalan apabila nama bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.
Katanya, perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.
"Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran," jelasnya.
Sebuah bar baharu di Kuala Lumpur sebelum ini menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menggunakan model Thai Hot Guy yang merupakan tetamu undangan penghias poster.
Tindakan tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mengkritik tindakan tersebut sehingga memaksa penganjur menutup ruangan komen mereka di Facebook.