PAS bantah cadangan Karpal Singh
Astro Awani
November 6, 2013 14:42 MYT
November 6, 2013 14:42 MYT
Cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menyarankan agar parti berasaskan kaum dan agama tidak dibenarkan dibantah keras oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, PAS.
PAS menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap kenyataan Karpal itu sesuatu yang serius dan membahayakan.
Tuan Ibrahim berkata cadangan yang dikemukakan oleh Karpal itu tidak berasas dan memperlihatkan Karpal gagal memahami perjuangan PAS.
Katanya, dalam suasana rakyat menolak Barisan Nasional (BN) dan semakin yakin dengan kepimpinan Pakatan Rakyat, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pemimpin gabungan pembangkang.
"Apakah bahaya perjuangan PAS bagi masyakarat majmuk di Malaysia?
"Nilailah sendiri pada PAS yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 dari segi perpaduan kaum dan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim.
"Apakah ada golongan bukan Islam yang disisihkan? Karpal sepatutnya mengemukakan fakta bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati," katanya.
Tuan Ibrahim berkata kenyataan Karpal itu boleh merugikan DAP secara amnya dan menyerahkan kepada kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan.
"Di atas nama parti, PAS membantah keras kenyataan beliau," katanyanya lagi.
Pada Selasa Karpal dilaporkan menyarankan supaya parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai rakyat tanpa batasan kaum dan agama.
Karpal berkata cara itu merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini dan sudah tiba masa semua parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftaran, termasuk PAS jika mahu membentuk negara yang bersatu-padu.
"Sepatutnya parti politik dan mana-mana pertubuhan profesional berasaskan kaum atau agama ini tidak boleh dibenarkan memandangkan perkara ini merupakan suatu yang serius dan bahaya," Karpal dipetik sebagai berkata dalam sidang media semalam.